Tuesday, March 17, 2009

Tanda Kasih Buat Ibu

KASIH ibu membawa ke syurga, itulah ungkapan yang sering kita dengar berkaitan dengan kasihnya ibu. Ungkapan itu memang ada kebenarannya.
Siapalah kita tanpa ibu yang melahirkan, tempat menumpang kasih selama sembilan bulan di dalam kandungan, mendodoi dan memelihara dengan penuh kasih sayang sehingga dewasa.


Bahkan, dalam semua agama meletakkan ibu sebagai insan mulia yang harus disanjungi. Dalam Islam sendiri sendiri, ibu diletakkan pada satu tahap paling tinggi sehingga Rasulullah SAW menyebut ibu sebanyak tiga kali sewaktu sahabat bertanya siapakah insan yang perlu ditaati selepas baginda.

Begitu besar sanjungan terhadap ibu sehingga tarikh 10 Mei setiap tahun telah dipilih untuk sambutan Hari Ibu menghargai jasa-jasa insan istimewa ini.
Walaupun bagi masyarakat Malaysia, Hari Ibu hanya disambut sejak beberapa tahun kebelakangan ini, setidak-tidaknya ia boleh dijadikan titik mula untuk meluahkan rasa kasih sayang terhadapnya.

Lazimnya, pada hari ini akan dimeriahkan dengan majlis-majlis di mana anak-anak menghargai jasa ibu dengan memberi kejutan seperti pemberian hadiah dan ungkapan-ungkapan yang begitu meruntuh jiwa.
Ini kerana membahagiakan hati seorang ibu adalah tuntutan terpuji. Walaupun seorang ibu tidak pernah mengharapkan balasan, namun apa salahnya mengejutkannya dengan hadiah yang tidak boleh dilupakan pada hari tersebut.

Hari Ibu kalau dilihat daripada skop yang lebih luas sebenarnya lebih sekadar peranan anak menunjukkan kasih sayang terhadap ibunya. Hari Ibu sebenarnya menjadi wadah kepada pelbagai pihak untuk melahirkan generasi yang lebih baik, anak-anak yang bertanggungjawab dan memupuk kasih sayang dalam keluarga.

Sumbangan : SUBERIEY

No comments:

Post a Comment